Mulai tahun ini, Kementerian Pertanian dan Industri
Asas Tani menetapkan tiga syarat terhadap pengusaha-pengusaha sarang
burung walet untuk mengeksport produk tersebut ke China.
Menterinya, Datuk Seri Noh Omar berkata, pengusaha terbabit perlu
mendapatkan sijil perakuan daripada Kementerian Kesihatan, Jabatan
Perkhidmatan Veterinar serta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) sekali gus melayakkan mereka memperoleh perakuan jenama 1Malaysia Best pada setiap produk tersebut.
Katanya, ia bertujuan memastikan kualiti sarang burung tersebut memenuhi piawaian yang ditetapkan oleh kerajaan China.
"Sijil dari Kementerian Kesihatan dan Jabatan Perkhidmatan Veterinar
adalah bagi memastikan sarang burung tersebut tiada risiko jangkitan
penyakit haiwan dan selamat untuk dimakan.
"Sementara sijil
pengenalan frekuensi radio (RFID) dari SKMM diperlukan untuk membolehkan
sarang burung walet yang bermasalah dikesan menggunakan gelombang
frekuensi radio untuk menentukan lokasi 'rumah' sarang burung
berkenaan," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang
akhbar selepas merasmikan Pusat Dagangan dan Depositori Sarang Burung
Autentik 1Malaysia yang pertama di Puchong dekat sini semalam.
Menurut Noh, syarikat berkenaan juga perlu mengenal pasti sebuah
syarikat di China sebagai rakan perniagaan bagi memudahkan eksport
sarang burung walet dari Malaysia dipantau.
"Syarikat di China
itu pula mesti melakukan promosi bahawa hanya produk sarang burung
walet jenama 1Malaysia Best sahaja yang dijamin kualitinya dan selamat
untuk dimakan," ujarnya.
Tambah beliau, antara lain, tindakan
tersebut akan memulihkan kembali industri tersebut yang mengalami
masalah pemasaran ke luar negara akibat dakwaan produk itu mempunyai
kandungan nitrit yang boleh membahayakan kesihatan.
"Pada
2011, kerajaan China telah melaksanakan penguatkuasaan kandungan nitrit
sifar yang mengakibatkan kejatuhan mendadak harga sarang burung walet
sehingga ke paras 50 peratus," ujarnya.
Mengulas lanjut
mengenai polisi kerajaan China tersebut, beliau berkata, ketika ini
Kementerian Kesihatan kedua-dua negara sedang berbincang bagi mencapai
kata sepakat mengenai kandungan nitrit yang dibenarkan.
Sementera itu, katanya, kementerian itu juga akan melaksanakan
penguatkuasaan undang-undang bagi mengawal mana-mana individu termasuk
pelancong membawa sarang burung walet lebih daripada satu kilogram ke
luar negara.